Selepas Setahun…

Ramadan kembali lagi. Bermakna sudah hampir setahun saya kembali aktif melukis. Bila menjengah semula perjalanan sepanjang setahun ini, boleh saya katakan banyak juga perubahan dan perkembangan baik telah berlaku. Ingin saya catatkan di sini rentetan perkara-perkara yang berlaku sepanjang setahun ini sebagai peringatan untuk diri saya sendiri.

Pertama, lukisan yang terdiri dari beberapa siri street scene yang telah siap, telah saya frame dan memenuhi ruang dinding rumah saya. Selepas itu saya mengenali Tuan Azmi, seorang pelukis dan penjual lukisan hasil sendiri di Tugu Negara. Beliau telah berjaya menjualkan hampir 40 keping lukisan saya yang bersaiz A5 kepada pelancong yang melawat Tugu Negara.

Semua Lukisan berukuran A5 ini telah habis dijual

Salah sebuah lukisan tahun 2010 yang kini tergantung di dinding

Saya meyertai KL Sketchers yang diasaskan oleh Es Tung , seorang pelukis lukisan cat air dan juga seorang penulis dan pengkritik seni lukis pada bulan April 2011. KL Sketchers pada dasarnya ialah untuk mereka yang meminati lukisan ‘outdoor sketching’ dan menjadikan laman facebook sebagai tempat berkumpul. Kini ahlinya sudah melebihi 130 orang.

KL Sketchers semasa aktiviti kami di Taman KLCC pada Jun 2011

Seterusnya… lukisan saya yang berjudul ‘Jalan Tun Perak’ terpilih menyertai Pameran Terbuka Galeri Shah Alam yang berlangsung dari 11 Julai hingga 26 Ogos 2011. Dan yang terbaru, saya menyertai bengkel Lukisan Cat Air Maamor Jantan yang dikelolakan Balai Seni Lukis Negara dan berpeluang mengenali Tuan Maamor Jantan sendiri, Salleh Dawam (pelukis dari Langkawi), Osman Akbar dan tentunya pelukis-pelukis lain dari bengkel itu sendiri. Semoga perjalanan seterusnya akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik dan lebih bermakna. Mudah-mudahan.

Hampir terlupa. Lukisan ini telah menjadi penghias kulit belakang sebuah buku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *