Turquoise & Violet mengalir di Interlarken…

Frankfurt – Schneidhain – Konigstein – Rudeshein – Thun – Interlarken

Alhamdulillah. Nampaknya pusingan tidur saya kembali normal. Rasa letih pun nampaknya dah berangsur hilang. Maklumlah… baru pertama kali ke Eropah. Ngeri juga beberapa kali terjaga dari tidur, masih malam dan terasa mamai. Haha… Macam-macam… 🙂

Frankfurt – Schneidhain – Konigstein – Rudeshein – Thun – Interlarken. Itulah nama beberapa tempat yang sempat saya kunjungi. Thun dan Interlarken terletak di Switzerland manakala Frankfurt – Schneidhain – Konigstein – Rudeshein di German. Memang menarik. Keindahan Eropah menutup sedikit segala keindahan dan kehebatan Soul, Korea yang saya kunjungi beberapa bulan lepas. Masakan boleh wanita-wanita Asia bermata sepet dan sesetengahnya adalah plastik dapat mengalahkan kecantikan dan ketajaman wajah wanita German. Hidung mancung, mata biru dan hijau serta kulit wajah yang bersih. Kelemahan mereka, badan mereka terlalu besar… Tapi jangan salah sangka, itu hanya sebahagian kehebatan ciptaan Allah namun isteri saya juga tetap di hati. Haha…

German, selain memiliki kehebatan rekabentuk bangunan yang unik dan saya kira masih bercirikan tradisional yang boleh dilihat disepanjang jalan utama sekitar Frankfurt menuju Schneidhain, mereka mempunyai banyak kawasan ladang yang luas dan beberapa hutan simpan yang masih terpelihara. Sejarah keagungan pemerintahan zaman tentera berbaju besi dan berkuda yang selalu kita lihat di TV dapat dilihat menerusi beberapa Istana batu yang masih terpelihara. Terdapat di Konigstein dan Rudeshein. Saya sempat melukis salah satu dari mereka.

Switzerland, rasanya negara ini memang tidak akan kalah dengan landskap yang sungguh luar biasa. Terbaik di dunia mungkin. Interlarken yang terletak antara dua buah tasik iaitu Brienzersee dan Thunersee merupakan bandar yang patut dikunjungi. Saya terlupa langsung untuk melukis di Interlarken. Sibuk mengambil gambar dan menghayati kehebatan pemandangan sekitar sungai yang mengalir membelah bandar ini serta bangunannya yang cantik berlatar belakangkan pergunungan Alps yang sejuk dan mendayu dengan percikan warna biru violet pada kaki gunung sehingga hampir ke puncak.

Saya tidak mengikut rakan-rakan lain naik ke Niesen, salah satu gunung yang berbentuk piramid di antara pergunungan Alps. Ini bermakna antara kami berlima, hanya saya sahaja yang tidak dapat merasa dan menyentuh salji Alps. Terasa rugi juga. Tapi terpaksa juga saya melupakan untuk melihat pemandangan Alps dari jarak dekat itu. Kalau tidak, saya tak akan punya banyak waktu untuk melukis di bandar Thun yang tidak kurang juga cantiknya. Dan.. saya cukup puas hati kerana dapat melukis pemandangan sebuah bangunan di tepi sungai Aare bersebelahan jambatan Muhlegassli. Tidak ramai yang berani mendekati semasa saya melukis di sini. Tapi ada beberapa orang yang sangat berminat dan mengambil gambar saya, cuma mereka sangat takut untuk menegur. Hanya senyum dan memandang-mandang dari jauh. Mungkin akan ada lagi lukisan mengenai mereka akan muncul lagi selepas ini kerana terlalu banyak gambar yang saya ambil yang boleh dijadikan rujukkan. Saya sudah berada di sana dan saya masih boleh merasakan warna dan bau kopi Eropah yang sentiasa hangat melawan kesejukkan. Saya tidak akan rasa bersalah kalau melukis melalui gambar. Dan satu lagi kelebihan melukis melalui gambar nanti ialah jari tangan saya tidak akan rasa beku dan kejang kerana tahap sejuk yang luar biasa. Haha…

Begitulah sedikit kisah dari Eropah yang dapat saya kongsi untuk semua. Semoga akan ada lagi rezeki untuk saya dan kita semua untuk pergi dan melihat keindahan alam Allah ini dan dapat diberi peluang untuk merakamkannya pada lakaran dan lukisan.

“A man who is inspired will walk a mile and discover the world…”

(kata-kata yang diambil dari poster yang berada pada dinding cermin untuk perokok di lapangan terbang Frankfurt)

Hisham Salmin
2013

 

One thought on “Turquoise & Violet mengalir di Interlarken…

  1. rohaizad ahmad

    Salam saudara… amat teruja melihat en. hisham melukis panorama ketika di luar negara terutama di Eropah. Arkitektur serta landskap pasti cukup cantik. Ini adalah impian saya satu hari nanti sekiranya berpeluang. Teruskan berkarya. Sekiranya sudi layari web saya untuk bertukar-tukar pandangan. =)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *