Profile

Beribu-ribu patah perkataan boleh dikarang untuk menceritakan siapa beliau, tetapi hasil karya seninya adalah sumber pengenalan diri yang terbaik. Lukisannya adalah identitinya. Lukisannya bukan sahaja menterjemah keindahan alam sekeliling, tetapi turut menceritakan dirinya sebagai seorang pelukis.

Menjadikan beberapa pelukis tempatan seperti Maamor Jantan, Ismail Kadir, Sani Md. Dom dan pelukis luar seperti Joseph Zbukvic, David Curtist dan Alvaro Castagnet sebagai sumber inspirasi, Hisham Salmin mula aktif dalam dunia lukisan cat air pada tahun 2009 setelah hanya melukis sekali-sekala  dalam setahun sejak kecil. Karya beliau juga dihidupkan dengan bimbingan dan perkongsian daripada Maamor Jantan, yang beliau anggap sebagai salah seorang yang penting dalam perjalanan dunia seni lukisnya.

“Selain keluarga, mereka adalah individu penting yang membuka laluan kepada permulaan perjalanan saya.”

Bila tiada kata hendak berbicara, biarlah gambar yang bercerita. Melalui gambar, seribu erti dapat diungkap dengan dengan jalinan warna yang pelbagai. Begitulah caranya Hisham Salmin berkomunikasi dengan alam sekeliling. Beliau melakar dan mewarna pada kertas menggunakan cat air sebagaimana penglipur lara bermain dengan cerita dan kata-kata.

Apabila murid sudah bersedia, alam sekeliling menjadi guru. Beliau suka memerhati dan mendapat ilham daripada alam sekeliling. Lukisannya adalah rakaman dunia nyata yang diterjemah dalam bentuk lukisan cat air. Dilahir dan dibesarkan di bandar, beliau banyak mengabadikan panorama urban dan pemandangan bandar dalam kebanyakkan karyanya. Namun sekali-sekala menjengah dunia landskap yang hijau dan mendamaikan.

Bersama-sama dengan ahli KL Sketchers, beliau sering berkarya dan ‘outing’ bersama bagi mencari subjek yang menarik untuk dilukis. Kebanyakan lukisan akan disiapkan terus di lokasi, walaupun di bawah bahang matahari. Begitulah cerminan hidup melalui lukisan cat air. Susah payah dan cabaran tidak pernah sunyi dalam hidup kita. Sebagaimana kesilapan pada kertas yang menggunakan cat air tidak dapat dipadamkan, begitu jugalah dengan hidup kita. Kadang kala, kesilapan itu boleh menerbitkan seni yang indah, dan tidak dapat diulang walaupun kita cuba melakukannya.

“Saya tidak menolak kemungkinan saya akan mencuba medium yang berbeza. Dan pengalaman pun mungkin berbeza.”

Karya beliau ditunjang oleh matlamat perjuangan yang besar. Beliau mahu membudayakan seni lukisan cat air dan berharap apa saja medium seni mudah dilihat dan menjadi perkara penting dalam masyarakat sekeliling. Kepuasan berkarya dan kebahagian melihat hasil seni yang indah perlu disebar luaskan untuk manfaat semua.

“Tidak ada kejayaan hebat yang boleh saya kongsi selain sebuah pengembaraan mencari kepuasan dalam dunia seni lukis.”

2 thoughts on “Profile

  1. aswadi hassan

    Syabas sahabat….kau sentiasa tinggalkan aku beberapa tiang…takpa perlahan2 aku follow lu dari belakang….biar lambat asal sampai ke penghujung…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *